SISTEM PENGURUSAN SEKOLAH KUALITI : SAY WHAT YOU DO, DO WHAT YOU SAY PEMANTAPAN PENGURUSAN DAN PELAKSANAAN PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN

26 May 2011

Tutorial 1: Strategi Pelaksanaan PK 01-Pengurusan Panitia

1. Proses Kerja ini pada asasnya meliputi semua mata pelajaran di sekolah.Jika ada
beberapa mata pelajaran bergabung dalam satu panitia, ia dikira sebagai satu panitia sahaja.

2. Objektif PK ini ialah memastikan panitia mata pelajaran diurus dengan cekap dan teratur
supaya prestasi mata pelajaran dalam peperiksaan (pertengahan, akhir dan peperiksaan
awam) meningkat sebanyak 3 % atau sekurang-kurangnya 65% keseluruhan dalam tahun semasa.

SISTEM PENGURUSAN SEKOLAH KUALITI



3. Jika telah melepasi sasaran 65%, panitia hendaklah meningkatkan prestasi subjek dalam peperiksaan sebanyak 3%. Jika telah berada dalam kedudukan cemerlang, 98% contohnya, panitia hendaklah memastikan kecemerlangan tersebut dipertahankan.

4. Langkah awal pengurusan panitia ialah dengan pelantikan AJK Kurikulum dan Ketua-ketua Panitia Mata Pelajaran di sekolah oleh Guru Besar/Pengetua. Sediakan surat/watikah pelantikan dan salinannya disimpan di dalam fail tegak. Maklumat ini disebarkan kepada warga sekolah dan "stakeholders" melalui takwim pengurusan sekolah yang diedarkan.

5. Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Sekolah perlu diadakan bagi merancang program kurikulum sekolah, sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Dokumentasi bagi pengurusan mesyuarat ini hendaklah disediakan dan disimpan dalam fail tegak yang lain (Panggilan mesyuarat, kehadiran ahli mesyuarat, minit mesyuarat, perancangan panitia/laporan). Jika panggilan mesyuarat menggunakan surat rasmi, maka rekod panggilan mesyuarat disimpan di dalam fail putih.

6. Semua mesyuarat yang dijalankan (Mesyuarat JK Kurikulum Sekolah dan JK Panitia MP) hendaklah
mematuhi tatacara pengendalian meyuarat seperti yang digariskan dalam PKPA Bil 2 Tahun 1991 Panduan Pengurusan Mesyuarat dan Jawatankuasa Kerajaan.

7. Ketua Panitia dan AJK hendaklah memastikan panitia mempunyai dokumen sokongan yang digunakan
dalam pengurusan panitia tersebut. Antaranya ialah: Sukatan Pelajaran bagi semua kelas, Huraian
Sukatan Pelajaran, Rancangan Pelajaran Tahunan, Perancangan Panitia, Pekeliling-pekeliling / Garis Panduan, Senarai Buku Teks yang digunakan dan sebagainya. Semua dokumen tersebut disimpan dalam fail tegak mengikut ketegori yang tertentu.

8. Perancangan Panitia hendaklah diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan aktiviti/program panitia
berdasarkan takwim yang dirancang. Semua aktiviti/program yang dijalankan hendaklah direkodkan dan laporan aktiviti/program hendaklah disediakan. (Rujuk Borang SPSK PK 01/2 dan SPSK PK 01/3).

9. Bagi sebarang perolehan yang dibuat dan diterima oleh panitia, juga hendaklah direkodkan. Pihak yang melaksanakan perolehan di sekolah ialah KPT atau pegawai aset sekolah, namun salinan
dokumen perolehan panitia hendaklah disimpan oleh panitia itu sendiri.

10. Bagi urusan Kawalan Rekod, Ketua Panitia, Setiausaha dan AJK panitia hendaklah bekerjasama menentukan dokumen yang hendak disimpan sama ada dalam fail putih atau fail tegak. (Rujuk Borang SPSK PK 01/1)

11. Diharapkan tutorial ini dapat membantu sekolah melaksanakan semua PK yang telah didaftarkan.

Sekian dan jumpa lagi.